PENGENALAN PROGRAM

 

Program Fesyen & Pakaian merupakan satu kursus kemahiran yang berkaitan dengan kreativiti dan teknik pembuatan pakaian, mereka pelbagai fesyen dan pakaian, pemahaman tekstil dan keusahawanan dalam industri fesyen dan pakaian. Program ini dapat melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran berkaitan dengan pembelajaran ilustrasi fesyen, pola asas pakaian dan penyesuaian pakaian, sampel proses jahitan, senireka fesyen, hiasan pakaian, teknologi pembuatan pakaian dan kajian fabrik. Para pelajar akan diberikan pengetahuan dan kemahiran secara teori dan amali mengikut proses kerja sebenar mengenai cara-cara pengumpulan data, penggunaan alat dan bahan seni reka serta konsultasi fesyen yang menjurus kepada ciri-ciri usahawan berjaya. Di samping itu, pelajar juga akan didedahkan dengan kemahiran membuat pola pakaian, potong fabrik dan menjahit pakaian dengan menggunakan teknik dan kaedah yang betul.

Program ini juga akan mendedahkan kepada pelajar mengenai daya intelektual dan artistik (seni) yang menentukan rekaan fesyen dan pakaian di pasaran tempatan dan antarabangsa. Dengan pembelajaran dalam bidang fesyen ini, lulusan juga berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma atau membuka perniagaan sendiri sebagai pereka fesyen, tukang jahit mahupun usahawan butik pakaian. Pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi akan diaplikasi untuk menghasilkan hiasan pada pakaian dengan lebih kreatif dan dapat menyumbangkan nilai daya saing dalam dunia fesyen.